Sabtu, 8 Oktober 2011

XX : Cabaran 50 Buku : (22) DIKAU TIDAK PERNAH JAUH


DIKAU TIDAK PERNAH JAUH
Penulis : Nur Hatija
Halaman : 427
Harga : RM 19.00
Terbitan : Jemari Seni
Cetakan 1 - 2011



 
Secara ringkas :

Mengisahkan tentang hidup seorang lelaki, Firdaus yang pada mulanya diselubungi kedaifan hidup tetapi masih bahagia di samping adik dan ayahnya namun berubah sekelip mata setelah Firdaus bertemu semula dengan ibunya. Hidupnya mewah tapi sayang cahaya kebahagian dan keimanan yang dimilikinya dahulu beransur lenyap.

Fudhail dialah bapa dialah ibu kepada kedua-dua anaknya Firdaus dan Aisyah. Kedua-dua anaknya dididik penuh kasih sayang dan cukup ilmu agamanya sehingga mereka membesar menjadi anak yang molek pekerti. Rata-rata orang yang melihat budi pekerti Firdaus dan Aisyah pasti memuji Fudhail betapa untungnya beliau memiliki anak seperti Firdaus dan Aisyah.

Hidup Firdaus bahagia di samping keluarganya sehinggalah dugaan Tuhan datang menguji ketabahannya. Aisyah dipanggil menghadap illahi. Firdaus seolah-olah tidak boleh menerima takdir dan menyalahkan buyanya kerana merahsiakan perkara penting ini daripada. Dia mengetahui kematian adiknya setelah sehari adiknya meninggal dunia.

Air yang dicincang tidak akan putus, selama mana Firdaus boleh memarahi buyanya itu? Firdaus mula insaf dan sedar akan ketelanjurannya. Mereka berbaik dan Firdaus cuba menerima ketentuannya. Tetapi sekali lagi dia diuji. Buyanya pula dijemput illahi dan sama seperti dulu dia tidak sempat menatap wajah buyanya buat kali terakhir. Mengapa tuhan mengujinya? Firdaus cuba mencari sebab musababnya.

Berpandukan alamat yang diberi arwah buyanya, Firdaus mencari ibu kandungnya yang di sangka telah tiada itu. Akhirnya dia berjumpa dengan ibunya, Puan Halina. Seorang usahawan wanita yang berjaya. Tetapi gaya hidupnya tidak melambangkan dirinya sebagai muslimah itu mula menggugah Firdaus. Bermula titik pertemuan merekalah Firdaus berubah.

Berubah bagaimana? Dari seorang yang menjaga pendangan matanya dari ajnabi sehingga kepada seseorang yang lupa kepada Tuhan dan melakukan kemaksiatan. Firdaus jauh tersasar dari jalan hidupnya yang lurus sebelum ini hanya kerana godaan kemewahan yang ditaburkan ibunya dan godaan wanita oleh adik tirinya sendiri.
Paksi hidupnya berubah 360 darjah dan mampukah dia pulang ke jalan yang benar?

“Kebahagiaan bukan kerana kekayaan dan kemewahan tetapi kerana agama dan iman.” Nur Hatija


Komen saya : 

Alhamdulillah, saya bersyukur sangat sebab dihadiahkan novel ini. Sangat berguna dan menginsafkan kita sebagai manusia biasa. insyaALLAH. Terima kasih kepada mereka yang menghadiahkan novel ni. =)

Nur Hatija seorang penulis baru dan Dikau Tidak Pernah Jauh adalah karya pertama tulisannya. Pada pendapat saya sebagai buah tangan pertamanya novel ni tidak mengecewakan dan berhasil. 

Novel ini sesuai untuk santapan rohani. Penulis cuba membawa kita menyusuri cerita nie dalam mencari erti cinta sebenar, cinta yang hakiki. Bagaimana kita perlu sentiasa yakin dengan Tuhan dan menerima dugaan yang diberi sebagai tanda kita kasih padaNya dan kita sebagai manusia perlulah menerima takdir Tuhan dengan penuh tabah tanpa mempersoalkannya sebagaimana keadaan Firdaus yang diuji dengan kematian adik dan buyanya yang tercinta dia mula goyah dan mempersoalkan mengapa Tuhan tidak habis-habis menduganya. 

Penulisan penulis sangat berkesan pada saya, terutamanya ketika adik Firdaus meninggal. Menitik air mata nie membacanya. Sedihnya sangat. Ketika Firdaus berubah selepas bertemu ibunya buatkan saya rasa tidak puas hati. Sepatutnya dari mula lagi Firdaus tak pergi ke banglo mewah tu. Dia sepatutnya tolak ajakan ibunya.  Saya tak puas hati seolah-olah benda nie betul-betul wujud! Sedangkan ia hanyalah sebuah cerita yang di garap. Tahniah penulis. Berjaya bermain emosi dengan pembaca. =)

Selain itu, apa yang saya dapat lihat penulis cuba sebaik mungkin untuk memastikan setiap watak ada penamat mereka. Saya berpuas hati dengan watak Rizal dan Safiah yang berakhir dengan mereka berkahwin, Watak ibu dan bapa tirinya pula mereka meninggal kerana helikopter mereka terhempas dan pengakhiran watak Firdaus dan Mardiah Cuma watak Tina dan Tina pula kurang memuaskan. Tini dibunuh tetapi Saiful yang membunuhnya bebas dan tidak mendapat balasan setimpal. Tina pula dia melarikan diri ke tempat lain dan memulakan hidup baru tanpa mendapat keadilan akan perbuatan Firdaus yang merosakkannya. Seolah-olah maruahnya tidak dibela dan penulis tidak menunjukkan yang Firdaus cuba memohon kemaafan dari Tina.

Walau apa pun penulisan berjaya mengembangkan watak-watak dengan baik tanpa menimbulkan kekeliruan pada pembaca. Secara keseluruhan pada saya novel ini sangat memuaskan! 

XX Quotes : Karya pertama tulisan Nur Hatija yang wajib dimiliki. =) sangat best dan penuh pengisiannya.


Tiada ulasan: